JellyPages.com

Total Pageviews

Monday, May 2, 2011

em,,tiada cinta sebelum nikah??,,


Tiada cinta sebelum nikah.
No love before akad.
Cinta hanya selepas kahwin.
Dan bla bla bla bla bla...
Ayat yang seringkali aku baca, dan sering kali aku dengar.
Tetapi, aku tak pernah sama sekali setuju dengannya.
Kerana pada aku, cinta sebelum nikah itu ada.
Aku kira, yang patut tiada sebelum nikah adalah hubungan intim seperti suami isteri.
Cinta, pada aku, sebelum nikah lagi memang sepatutnya perlu diwujudkan.
Oh, lainlah kalau definisi cinta kamu, telah kamu rendahkan dengan menganggap ‘bercinta’ itu adalah ‘bercouple, pegang-pegang tangan, berhubungan tanpa batas’ dan sekutu-sekutunya.
Maaf.
Cinta aku mahal, dan tidak serendah itu.
Sebab itu cinta aku yang mahal itu, wujud sebelum bernikah lagi.
Cinta yang sebenar
Couple itu maknanya cinta?
Hubungan intim lelaki perempuan yang bukan mahram tanpa batasan itu cinta?
Maaf.
Jika kamu panggil itu sebagai ‘bercinta’, tandanya kamu telah menjatuhkan harga cinta.
Untuk aku, itu semua bukan cinta.
Cinta adalah suci. Bersih. Dan ianya membawa ke syurga.
Cinta mestilah dibina dari keimanan, dan dicari berlandaskan petunjuk Allah SWT.
Cinta adalah perasaan, yang wujud di dalam jiwa dan diterjemahkan dalam bentuk amal.
Menolak sahabat ke dalam api, itu bukan namanya akung sahabat, walaupun sebelum menolak sahabat itu ke dalam api, sudah 1000 kali diucapkan: Ana sayang enta, sahabat ana.
Melempar pasangan ke dalam neraka, dengan melanggar arahan-arahan Allah, itu bukan namanya bercinta.
Walaupun kamu sering gunakan perkataan ‘cinta’ dalam hubungan kamu.
Cinta lebih suci dari apa yang kamu jangka.
Dan ‘cinta’ yang asli ini, tidak sepatutnya diharamkan sebelum bernikah.
Cinta sebelum kahwin
Kalau benar cinta kepada pasangan kamu, maka kamu akan menjaga diri kamu dari laranganNya.
Kamu tidak akan melempar pasangan kamu ke neraka dengan mengajaknya bermaksiat kepada Allah SWT.
Kalau kamu benar cinta, kamu akan meminta petunjuk Allah dan berkira-kira.
Kamu akan list pro dan kontra serta muhasabah kembali perasaan yang hadir di dalam diri kamu.
Kemudian bila benar-benar sudah tetap hatinya, lanjutkan dengan lamaran tanda kamu benar-benar serius.
Yang lelaki boleh terus kepada keluarganya, yang perempuan boleh menghantar wakil untuk bertanyakan lelakinya.
Tapi pastikan kamu benar-benar siap. Bukan istikharah semata-mata. Tetapi ada perancangannya juga. Perancangan dunia kamu, dan perancangan akhirat kamu. Ini kalau kamu benar-benar cinta.
Kamu berhubungan atas perkara yang sangat-sangat-sangat penting sahaja dan kamu tidak berlengah-lengah dalam meninggalkannya ketika urusan selesai.
Untuk lelaki, kamu bina hubungan yang erat dengan kedua ibu bapanya, dan adik beradik lelakinya, untuk berta’aruf dengannya.
Untuk perempuan, kamu bina hubungan yang erat dengan ibunya dan adik beradik perempuanya, serta saudara mara perempuan yang dia ada untuk berta’aruf dengannya.
Kamu siapkan diri kamu untuk menjadi suami@isteri yang baik untuk pasangan kamu.
Kamu tekankan pada diri kamu untuk lakukan perubahan dengan memandang bahawa kamu mesti hendak membahagiakan pasangan kamu sebahagia-bahagianya.
Dan apakah yang lebih bahagia dari mendapat keredhaan Allah dan masuk ke syurga bersama-sama?
Dan pantaskan urusan perkahwinan kamu.
Jatuhkan dengan segera perkara-perkara yang menghalang perkahwinan kamu dari berlangsung dengan cepat.
Itu satu tanda cinta.
Kalau kamu tanya akan cinta aku.
Maka cinta aku begitulah.
Kamu yang syok sendiri tanpa memahami cinta
Kamu-kamu yang bercouple dan memusnahkan erti cinta yang sebenar, aku terkilan dengan kamu.
Kamu-kamu yang bercinta dengan cara yang salah, aku terkilan dengan kamu.
Hal ini kerana, wujudnya kamu dan kesalahan kamu, membawa kepada orang-orang tertentu mengharamkan terus cinta sebelum wujudnya pernikahan.
Kamu-kamu yang mengharamkan terus segala jenis cinta sebelum nikah, aku juga terkilan dengan kamu.
Islam datang mengajar kita mengawal perasaan. Bukan menghapuskannya.
Jadi yang halal diharamkan hanya kerana ada yang salah menggunakannya.
Maka sepatutnya dididik bagaimana untuk bercinta dengan sebenarnya.
Apakah jika ada orang belajar untuk membuat nuklear dan mengebom sesebuah tempat, maka ‘belajar’ itu diharamkan dan matapelajaran ‘nuklear’ itu patut diharamkan?
Semestinya tidak.
Apakah apabila Allah menimbulkan rasa cinta di dalam jiwa seseorang, kamu hendak menyalahkan Allah atas perasaan cinta yang Dia munculkan?
Maka sepatutnya kamu, membina satu garis yang jelas. Antara cinta, dan ‘cinta’.
Bukan hanya syok sendiri dengan ‘cinta suci’ buat ‘golongan kamu’ sahaja.
Aku tidak menghalalkan yang haram, juga tidak mengharamkan yang halal
Aku di sini bukan hendak menghalalkan yang haram.
Aku nyatakan di sini, couple dan segala apa yang Allah larang, untuk aku itu semua bukannya cinta.
Justeru apabila aku katakan cinta, couple tiada kaitan dengannya.
Keluar berdua-duaan tiada kaitan dengannya, bergayut dalam telefon tiada kaitan dengannya.
Sms-sms tak ada makna, atau sms-sms ‘tazkirah bohong’ tak ada kena mengena.
Salut-salut nama ‘dakwah’ untuk meng’halal’kan perhubungan juga tak ada kena mengena.
Cinta yang aku kata ini, bebas dari semua itu.
Aku juga tidak akan sesekali mengharamkan yang halal.
Sebab itu aku berdiri di sini dengan pegangan ini.
Untuk aku, yang halal bila disalah guna, benar ia menjadi haram.
Maka masalah di sini bukanlah yang halal itu.
Masalah di sini adalah ‘pengawalan’ itu.
Sekelompok manusia yang gagal mengawal, itu bukan bermakna ia haram untuk semua manusia.
Lainlah perkara itu jelasnya haram secara qat’i, sebagaimana arak.
Walaupun mungkin sekelompok sahaja yang mabuk, tetapi ia tetap haram kepada semua.
Cinta yang hakiki, bukannya arak!
Lihatlah dia, lihatlah kesederhanaannya
Guruku, mudirku, Ustaz Dahlan Mohd Zain, pernah satu hari membicarakan hal perkahwinan dan hubungan sebelum kahwin di dalam kelas.
Keluar dari pelajaran kami yang sebenarnya, Fiqh Sirah Nabawi pada hari itu.
Lihatlah antara soalan yang muncul, dan bagaimana sederhananya jawapan dia.
“Ustaz, boleh ke kata cinta pada tunang kita?”
“Boleh, tapi kena benar-benar dengan cinta yang betul la. Bukan main-main”
Maka aku terjemahkan ‘benar-benar dengan cinta yang betul,’ itu, adalah apabila ia dipandu keimanan, di atas syara’, dan kena pada keadaan serta keperluan pengucapan itu.
Bukan diucap atas dasar nafsu, atau semata-mata kerana rindu, atau kerana ingin bermanja-manjaan.
“Ustaz, boleh ke nak jumpa tunang?”
“Boleh, tapi kenalah bawa keluarga sekali. Ajak mak ayahnya makan bersama ke. Masa tu jumpa la.”
Bukannya tidak dibenarkan berjumpa langsung.
Tetapi ada caranya. Ada ketikanya. Ada adabnya.
Ustaz Dahlan mengajar aku, untuk tidak mengharamkan sesuatu yang halal, tetapi melihat apakah yang membawa kepadanya menjadi haram, dan membasmikan masalah itu.
Dan jawapan-jawapannya adalah jawapan yang menyenangkan jiwa. Lihatlah uslubnya.
“Boleh...” Mendengar jawapan ini terlebih dahulu, jiwa jadi lapang. Oh, Islam ini tidak berat ya...
“Tapi kenalah...” Dan syarat selepas itu menjadi ringan untuk dilakukan kerana hendak mencapai ‘boleh’ tadi.
Ustaz Dahlan, secara tidak langsung, menundukkan nafsu pada kawalan syara’ hanya dengan jawapannya yang mudah itu.
Dan jawapannya sesuai untuk umum. Bukan hanya untuk orang dakwah sahaja, bukan hanya untuk yang tidak belajar agama sahaja.
Jawapannya betul untuk semua.
Dan aku hidup dengannya, menyerap segala didikannya, jadilah aku sebagai aku.
Dan jadilah cinta aku seperti ini.
Penutup: Kamu, jangan murahkan cinta, dan memandang rendah kepadanya
Kamu, jangan murahkan cinta dan memandang rendah kepadanya.
Jangan kamu salahkan cinta kerana kesalahan-kesalahan kamu atau orang lain.
Kalau kamu lemah hendak mengangkat cinta pada pundakmu, maka kuatkanlah dirimu itu. Bukan memandang rendah orang lain, atau meyalahkan orang lain, yang bercinta dengan cintanya yang betul.
Aku tidak mewajibkan cinta sebelum nikah.
Tetapi yang aku ingin jelaskan di sini adalah, jika ia wujud, maka itu bukan satu kesalahan.
Yang perlu adalah pengawalan agar ia tidak keluar dari definisi cinta yang sebenar.
Definisi cinta aku adalah = ingin masuk syurga bersama.
Apakah cinta kalau melempar pasangan ke neraka?
Untuk aku, inilah dia kefahaman aku. Inilah dia cinta aku.
Oh ya, dan aku belum bernikah.
*Artikel ni,ana amik kat mana entah..xingat dah...baru terjumpa..rupa2nya..ada dlm simpanan..yang baik..djadikan panduan..yng buruk djdkn sempadan..bersama2 lah kita beramal dan muhasabah diri...bak kata nabil raja lawak,”lu pikirlah sendiri..”..tp ana nk tukar sikit..”mari..kita bersama2 berfikir..”..waallahualam......

jadikan pengajaran...hehehhe


Azilah benar-benar keliru dengan sikap kekasihnya. Siang, malam, mesejnya satu pun tidak berbalas. E-mailnya terus lengang seiring dengan waktu yang terus berlalu. Dia sangat tertekan waktu itu. Azilah memerlukan seseorang untuk menjadi tempat luahan bicaranya, tempat mengadu segala keperitan, tempat berkongsi suka dan duka.

Masih segar lagi diingatannya sewaktu dia dan Muslim bersama, ke mana sahaja tentu mereka akan berdua. Setiap kali hujung minggu, sudah tentu panggung wayang akan menjadi destinasi utama mereka. Duduk berdua-duaan menjadi perkara yang amat dinantikan olehnya. Namun kini, semua itu hanya tinggal kenangan. Muslim bukan kekasih yang dikenalinya dulu, dia kini tidak lagi bersamanya untuk berkongsi suka dan duka. Janji-janji manis Muslim untuk bersama-sama membina istana berlandaskan syariat seakan-akan terkubur kini. “Kau jantan penipu! Kau pendusta! Aku benci kau!” Hari demi hari, hati Azilah makin kuat menjerit melepaskan kebencian, namun yang berkunjung hanyalah kerinduan terhadap seorang mahluk yang bernama lelaki itu.

Sehinggalah pada suatu hari, Azilah bertemu dengan seorang gadis di sebuah program motivasi. Pertemuan di dalam sebuah majlis yang singkat itu tidak di duganya membuahkan sebuah persahabatan yang berkekalan. Gadis itu amat lembut pekertinya. Auratnya dijaga rapi dan tutur katanya diatur sempurna. Nur Mujahidah, itulah nama yang diungkapkan gadis itu sewaktu Azilah menghulur tangan tanda perkenalan. Mulanya Azilah tidak tertarik untuk mendekati gadis itu, namun kepetahan dan kebijaksanaannya berbicara, akhirnya hati Azilah tertarik untuk mengenalinya dengan lebih rapat.

Sejak mengenali Mujahidah, Azilah mula mendekati Islam sebenar-benarnya. Itu tidaklah bermakna Azilah yang dahulu jauh daripada agama, namun kini dirasakannya perjalanan kehidupannya lebih terpelihara. Jika dahulu dia memakai tudung gaya moden yang menonjolkan dadanya, kini tudung itu menjadi bertambah labuh. Jika dahulu, T-shirt dan jeans menjadi pilihan pemakaian hariannya, kini jubahlah pula yg menjadi pembalut tubuh agar tidak menjadi bahan tatapan lelaki-lelaki berhidung belang. Hari demi hari, Azilah seakan-akan mampu melupakan Muslim. Kini Mujahidahlah dunianya, segala masalah dikongsikan bersama. Kehadiran Mujahidah mampu menggantikan tempat Muslim. Yang anehnya, Mujahidah seolah-olah seperti Muslim versi wanita baginya.

Saban hari, semakin ramai yang gemar untuk berdampingan dengan Azilah. Dia amat bahagia kini kerana dikurniakan ramai sahabat yang ada untuknya meluahkan rasa suka dan duka. Ramai pemuda cuba untuk mendekatinya, namun Azilah segera menolaknya kerana dia sedar, cinta kepada seorang lelaki mampu membunuhnya. Apa yang dinantikannya kini hanyalah CINTA kepada Ilahi dan bukannya cinta sementara rekaan syaitan bertunjangkan hawa nafsu. Cinta selepas kahwin menjadi idamannya kini. Bila dan siapa orangnya, biarlah Allah sahaja yang menentukannya.
Kini genaplah lima tahun pengajiannya di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan. Minggu hadapan, dia akan mula bercuti. Azilah sudah mula sibuk mengemaskan barang-barang untuk pulang ke kampung halaman. Tiba-tiba Mujahidah datang mengirimkan sepucuk surat kepada Azilah. Tanpa sebarang bicara, Mujahidah berlalu pergi. Perlahan-lahan, Azilah membuka sampul surat berwarna biru itu. Hatinya berdebar-debar, kerana dia kenal benar dengan tulisan tangan di sampul surat itu. Tulisan insan yang pernah membuat hidupnya sengsaradahulu.
Assalamu'alaikum wrh,

Ke hadapan Nurul Azilah binti Mohd Khairuddin, gadis yang selalu kusayangi sejak dahulu, kini dan InsyaAllah, untuk selama-lamanya. Maafkan diriku kerana telah lama menghilang tanpa sebarang berita. Aku pergi bukan kerana ingin meninggalkanmu tapi aku pergi kerana aku mahu mencari CINTA dariNya.

Mungkin dahulu aku pernah membawamu ke dunia penuh kelalaian. Atas desakan hawa nafsu, aku mengajakmu melanggar batas-batas syariat. Mujur, aku tersedar lalu kutinggalkan kamu sendirian merangkak dalam kepayahan. Aku turut berduka kerana kehilanganmu. Siang, malam, hari-hariku terasa perit tanpa adanya kamu. Mungkin kau tidak menyedari, aku sering memerhatikan kamu. Mesej-mesej pertanyaan khabar darimu sengaja kubiarkan tidak berbalas.Maafkan aku.

Kuhadiahkan kamu adikkku, Nur Mujahidah sebagai penggantiku, teman sewaktu kamu senang dan susah. Segala perkembangan tentang kamu, selalu kutanyakan kepada adikku. Kadang-kadang ada juga kau mengeluh tentangku, saat itu, aku terasa berat untuk menjauh darimu. Namun, aku perlu berbuat begitu, kerana aku perlukan masa untuk mengambilmu sebagai isteri. Ilmu agama perlu kuperdalami, ilmu dunia perlu kutuntut agar aku mampu mencari rezeki buat kita berdua.

Kini sudah tiba masanya untukku sunting dirimu. Apa yg perlu kau tahu, saat kamu membaca surat ini, rombongan meminang telah pun kuhantar kerumahmu. Kuharap kau sudi untuk menerimaku sebagai suamimu.
Sekian, wassalam.

Yang Benar,
Muslim.
Azilah terdiam seketika, hatinya berbunga. Dalam esakan tangisan dia tersenyum. Dia bahagia kini. Tidak disangka, insan yg dahulunya dianggap pengkhianat, penipu dan pembelot rupa-rupanya seorang kekasih yang sejati. Benarlah, begitu indahnya cinta andai ada CINTA kepada Allah Yang Maha Esa. Azilah mula menyambung kembali tugasnya. Tidak sabar untuknya pulang menanti hari-hari bahagia apabila dia dan Muslim disatukan nanti. Indahnya hidup berlandaskan syariat, itulah kisah Muslim dan Azilah, anda bagaimana?
SOLEHKAN DIRI UNTUK MEMILIKI YANG SOLEHAH...
SOLEHAHKAN DIRI UNTUK MEMILIKI YANG SOLEH...