JellyPages.com

Total Pageviews

Sunday, August 21, 2011

Jom buat check lists amal ibadah kita!


1) Solat Fardhu : Lengkapkah segala-galanya?

First of all, adakah sudah cukup lengkap solat fardhu kita lima waktu setiap hari?
Kalau dah lengkap semak perkara-perkara lain pula yang berkait rapat dengan solat fardhu ini.
Adakah kita tunaikannya diawal waktu ataupun kita lengah-lengahkannya hingga ke akhir-akhir waktu?
Berjemaah kah kita sekiranya mempunyai peluang untuk berbuat demikian? Khusyukkah solat kita atau masih banyak perkara lain yang kerap bermain dikepala ketika menghadap-Nya?
Sedarkah kita bahawa, mereka yang dekat di sisi Allah dan dijanjikan Syurga adalah mereka yang pertama sekali menjaga amalan solat fardhu mereka?
Yang dimaksudkan dengan 'menjaga' solat fardhu ini bukanlah bermakna melakukannya sahaja tetapi ia juga kerap ditunaikan di awal waktu dan secara berjemaah.
Mereka yang beriman akan sentiasa menunggu-nunggu solat fardhu ini bagaikan menunggu detik untuk bertemu kekasih. Mereka solat dengan penuh khusyuk, seolah-olah mereka sedang berkomunikasi dengan Yang Maha Pencipta.

2) Solat-solat sunat: Sejauh mana kita sanggup melakukannya?

Adakah kita pernah menunaikan solat-solat sunat sepanjang hidup kita? Jika pernah, bagaimana halnya dengan solat sunat di sepanjang bulan Ramadhan ini?
Kerapkah kita melaksanakannya? Dan mampukah kita untuk meneruskan tradisi solat sunat ini setelah tamatnya Ramadhan?
Solat-solat sunat ini sebenarnya mempunyai pelbagai keistimewaan antaranya adalah untuk menampung kekurangan kesempurnaan solat fardhu kita.
Rasulullah S.A.W dan para sahabat banyak melakukan solat sunat terutamanya solat malam sehingga bengkak-bengkak kaki Baginda kerana Rasulullah S.A.W terlalu lama berdiri menunaikan solat malam. Rasulullah yang telah dijanjikan Syurga pun tetap melakukan solat sunat setiap malam kerana cintanya terhadap Allah.
Jadi persoalannya di sini, cintakah kita kepada Allah? Jika cinta, mulakan lakukan solat sunat. Mulakan dengan sebulan sekali dan kerapkan hingga kita lali melakukannya setiap hari.

3) Membaca al-Quran : Syafaat yang pasti!

Al-Quran? Sedihnya terdapat generasi muda zaman sekarang yang mengaku Islam tetapi tidak tahu membaca al-Quran. Lebih sedih lagi ada yang mengaku tidak pernah buka dan pegang al-Quran! Salah siapa kah jika perkara ini terjadi?
Maka kita yang reti serba sedikit tajwid dan cara untuk membaca al-Quran ini harus bersyukur kerana Allah telah memberi nikmat kepada kita iaitu nikmat berupa al-Quran, syafaat yang pasti untuk kita di akhirat kelak!
Mari kita semak, sudah banyak mana kita baca al-Quran sepanjang Ramadhan ini? Jika sudah khatam alhamdulillah. Syukur. Tetapi boleh tak sekiranya kita teruskan amalan membaca al-Quran ini dimasa-masa akan datang? Semuanya bergantung pada hati.. sucikanlah hati.
Insya-Allah hati yang suci mudah untuk mendengar dan menyebut kalimah-kalimah Allah walau dimana dan bila-bila masa pun kita berada.
Dan sekiranya kita membaca al-Quran, adalah lebih baik jika kita baca sekali terjemahan-Nya agar kita lebih memahami maksud ayat-ayat yang di baca. Bukan kah itu lebih afdhal?

4) Bersedekah: Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. 

Bayangkan sebuah situasi yang begini:
Anda dan ahli keluarga anda sedang menjamu selera disebuah warung selepas menunaikan solat terawih di sebuah masjid berdekatan dengan kawasan perumahan anda.
Oleh kerana anda dan ahli keluarga cuma berbuka kurma dan air sebelum berterawih tadi, anda pun memesan segala macam jenis lauk pauk. Tomyam, udang sambal, sotong goreng tepung, ikan siakap tiga rasa dan banyak lagi.
Tiba-tiba sedang anda menjamu selera dengan penuh nikmat, seorang kanak-kanak lelaki datang dengan pakaian yang kusut masai membawa secawan plastik yang berisi duit kertas rm1 dan beberapa sen duit syiling.
Tujuan kanak-kanak itu datang ke meja anda adalah untuk meminta derma.
Ketika itu ada yang pasti berfikiran : Ah ini semua sindiket.. buat apa bagi?
Ada juga yang mungkin memberi ceramah perdana free kepada kanak-kanak itu.
Kan mudah jika kita hulurkan sahaja derma kepada dia? Samada sindiket atau tidak itu adalah urusan mereka yang bertanggungjawab dengan Allah S.W.T. Jangan kita berlagak sombong menduga manusia lain begini dan begitu.
Bagaimana jika kanak-kanak terbabit cuma jelmaan malaikat yang ditugaskan untuk menduga anda? Bil makanan anda mungkin mencecah ratusan ringgit. Apa salahnya menderma sedikit untuk mereka yang memerlukan?
Bila bulan Ramadhan juga ada banyak pihak yang tiba-tiba menjadi prihatin kepada nasib anak-anak yatim dan orang-orang kurang berkemampuan. Baguslah, alhamdulillah.
Tetapi yang tidak berapa bestnya apabila sumbangan derma kita yang mencecah puluhan ribu ringgit itu diwar-warkan di dalam TV1, TV2, TV3, TV9, TV7, TV HIJRAH, ASTRO dan segala macam saluran media. Popularitikah dicari atau keberkatan ilahi?
Ok. Cukuplah 4 dulu check lists kita untuk kali ini. Sedangkan sebenarnya masih banyak lagi amalan-amalan yang kita perlu semak samada cukup atau tidak, lengkap atau kurang lengkap, semuanya perlu kita muhasabahkan lagi.
Jadi macam mana amalan-amalan kita? Sudah elokkah semuanya? Lengkapkah persiapan kita menghadap Ilahi? Ataupun persiapan raya lebih lengkap?
Akhirat itu benar..
Syurga itu benar...
Dan Neraka itu benar...
Marilah kita sama-sama mengambil peluang sepuluh malam terakhir Ramadhan ini, MALAM YANG DIJANJIKAN BAGI SESIAPA YANG MENGHIDUPKANNYA UNTUK DIJAUHKAN DARI AZAB NERAKA INI untuk berdoa, dan memohon keampunan daripada Allah.
Marilah sama-sama kita mohon supaya diri kita dan keluarga kita, sahabat-sahabat kita, semua muslimin muslimat dijauhkan dari azab api neraka dan dilimpahkan dengan rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T.

Surah al-Ghaasiyyah Ayat 1-12

[Ayat : 1]
Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi?
[Ayat : 2]
Muka (orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina.
[Ayat : 3]
Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah.
[Ayat : 4]
Mereka tetap menderita bakaran Neraka yang sangat-sangat panas (membakar).
[Ayat : 5]
Mereka diberi minum dari mata air yang menggelegak panasnya.
[Ayat : 6]
Tiadalah makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri.
[Ayat : 7]
Yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.
[Ayat : 8]
(Sebaliknya) muka (orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.
[Ayat : 9]
Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik, yang telah dikerjakannya di dunia).
[Ayat : 10]
(Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga yang tinggi (tempat kedudukannya dan darjatnya).
[Ayat : 11]
Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.
[Ayat : 12]
Di dalam Syurga itu ada mata air yang mengalir.......

Tips 10 Malam Terakhir Ramadhan


Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadar :
1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata; tidak untuk kesibukan lain.
2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah S.W.T dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera.
3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah iktikaf dan qiyamullail 10 malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.
4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.
5. Jika anda bekerja di bawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.
6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.
7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih-muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.
8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai ke arah perubahan tersebut.
Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Amin.