JellyPages.com

Total Pageviews

Monday, January 17, 2011

Panduan Memilih Isteri

"Yang paling kukuh keimanan ialah berkawan kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan membenci kerana Allah." - Hadis Riwayat Tabarani dari Ibnu Abbas r.a
Mengapakah teruna memilih gadis jelita? Kata orang, gadis seperti ini menyejukkan serta menggembirakan hati. Betulkah begitu?
Gadis itu pada asasnya bererti wanita yang belum bernikah.
Walaupun begitu, perkataan 'gadis' juga digunakan bagi menggambarkan kesucian seseorang wanita.
Wanita yang sudah ternoda sebelum berkahwin digelar 'sudah tiada gadis' atau 'sudah tiada dara'.
Umumnya, pengertian pertama iaitu wanita yang belum bernikah digunakan secara formal sedangkan yang kedua itu adalah gelaran yang diberikan secara berbisik-bisik.
Alam gadis merupakan alam yang paling manis bagi seseorang wanita.
Semasa inilah seseorang wanita itu akan mencapai tahap mekarnya dan keayuannya. Pada masa inilah wanita itu mula dipanggil 'bergetah' jika kita hendak meminjam bidalan Soekarno.
Bila dipandang, banyak hati lelaki akan tergoda.
Ada gadis yang 'boleh tahan' dan ada gadis yang 'tak boleh tahan'. Gadis yang 'boleh tahan' biasanya dianggap manis tapi tidaklah jelita.
Yang 'tak boleh tahan' pula adalah gadis yang sungguh cantik menawan. Ramai lelaki yang tergoda kepada gadis 'tak boleh tahan' ini apatah lagi jika gadis itu sendiri pandai pula menggoda dan mempermainkan perasaan lelaki.
Tidak dapat dinafikan bahawa lelaki teruna sememangnya tertarik pada rupa dan bentuk fizikal gadis.
Itulah yang menjadi asas mengapa mereka lebih memberi perhatian.
Ada orang berpendapat bahawa gadis yang cantik lebih beruntung kerana lelaki melayaninya dengan lebih baik, mesra dan lemah-lembut.
"Janganlah sekali-kali seorang lelaki berduaan saja dengan seorang wanita, melainkan dengan didampingi seorang muhrim." (Hadis riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas r.a.)
Biasanya teruna akan terpikat dan terpesona dengan kecantikan si gadis dahulu, kemudian barulah si teruna menyelidiki perangai si gadis.
Ini menyebabkan ramai lelaki terperangkap, menyesal atau menderita, terutamanya bila sudah terlanjur dan tidak boleh berundur lagi sedangkan baru tahu bahawa si gadis itu teruk perangainya atau sudah ternoda.
Walaupun 'mata yang belum berisi pengalaman' itu tertarik pada rupa yang cantik, sebenarnya jodoh bagi hati adalah hati juga, bukannya rupa.
Maksudnya pada akhirnya gadis yang hatinya paling suci sesuci hatinyalah yang dipilih oleh teruna untuk dikahwini.
Berikut adalah petua-petua sekiranya anda ingin memilih gadis jelita menjadi isteri anda:
Elakkan Dari Berkawan Dengannya
Dengan merapati dan berkawan dengan si gadis, kecantikan hati ini sebenarnya sukar untuk dinilai oleh lelaki. Selalunya yang dilihat semuanya 'baik, sopan dan elok' apatah lagi pada masa itu sang teruna sedang mahu, dia hanya nampak yang elok. Si gadis pula mungkin hanya berpura-pura jadi baik dan sopan untuk memikat teruna. Itulah sebabnya ada yang membidalkan bahawa:
'Yang bercahaya tidak semestinya emas' dan 'yang cantik tidaklah semestinya permata'. Maka elakkan dari berkawan dengannya untuk mengelakkan anda dari terpesona dan terpedaya. 
Lakukan Risikan Secara Rahsia
Kecantikan hati biasanya boleh dinilai oleh pengamatan rahsia si teruna bersama keluarga teruna terhadap si gadis.
Risikan rahsia ini adalah untuk mengetahui bagaimanakah tingkahlaku si gadis itu bila dia berada bersama keluarganya sendiri.
Adakah si gadis dari jenis yang suka berjalan, bergaul bebas, atau suka menolong ibunya memasak, rajin berkemas dan taat dalam beribadat akan dapat ditentukan dengan lebih jelas.
Pihak teruna juga boleh mengetahui perihal moral si gadis dengan menyelidiki ke manakah si gadis itu suka pergi di hujung minggu atau di masa lapangnya.
Jika dia gemar pergi ke tempat yang kurang baik, besar kemungkinan dia mempunyai sifat-sifat yang kurang baik pula.
Walaupun pada asasnya cara menyelidik begitu, atau dipanggil 'merisik' ini tidak begitu disukai oleh si gadis sendiri, ia adalah jalan yang dianggap lebih baik dari cara berkawan dengan si gadis, membawanya ke mana suka, dan 'menyelidik' dengan bertanya pada gadis itu atau hasil memperhatikan tingkah lakunya di depan mata.
Cari Yang Pandai Mengurus Rumahtangga
Pada zaman sekarang, masa remaja si gadis bererti masa sebagai pelajar sekolah menengah, pra-universiti dan pusat pengajian tinggi.
Bagi gadis-gadis ini, masa untuk mereka belajar menjadi 'wanita' dari ibu adalah amat terhad, jika ada, praktikannya hanya dalam jangkamasa pendek. Kesempatan untuk berada di dapur amatlah terhad pada hujung minggu serta semasa cuti.
Akibatnya, semakin ramai gadis yang berorientasikan kerja makan gaji dan tidak berorientasikan mengurus rumahtangga.
Cari Yang Hormat Kepada Orang Tua
Selidiklah apakah dia gadis yang tahu menghormati orang tua.
Ini penting kerana dia nanti akan bersua, bertandang ataupun duduk bersama ibu bapa anda.
Walau betapa cantik pun dia, jika dia tidak menghormati ibu dan bapa mertuanya, dia akan menyebabkan anda menjadi serba-salah dalam menangani kehidupan anda.
Cari Yang Pandai Menjaga Kehormatan
Hal ini juga dapat diperhatikan di kalangan gadis-gadis yang tidak begitu berjaya dalam pelajaran. Lebih ramai yang suka bekerja makan gaji dari membantu ibu di rumah atas alasan meringankan beban keluarga.
Bagi gadis yang mudah 'lupa' masa inilah mereka akan jadi rosak.
Mereka akan keluar dengan lelaki tanpa segan silu, mula memakai pakaian yang ketat dan menjolok mata serta belajar berbagai cara dari rakan sebaya untuk memikat lelaki.
lbubapa yang tidak mengawasi gerak-geri anak gadisnya mungkin akan menyebabkan gadis itu menjadi gadis murahan.
Cari Yang Tidak Bebas Dengan Lelaki
Pada zaman dahulu, ada ibu bapa yang sengaja tidak menghantar anak perempuannya ke sekolah.
Takut nanti jadi perempuan jahat akibat dapat bergaul dengan lelaki secara bebas.
Bila zaman semakin moden, pemikiran cara ini dianggap sudah usang.
Ramai pula menganggap adalah lebih baik bagi wanita bersekolah asalkan saja di sekolah dia dilengkapi dengan input tatasusila dan adat apatah lagi agama.
Cari Yang Didikan Agamanya Cukup
Beredarnya zaman perlu mengambil kira faktor sekeliling si gadis. Jelas pada kita bahawa cara hidup gadis sekarang sudah jauh berbeza berbanding gadis satu atau dua dekad silam.
Namun, dari sudut nalurinya adalah sama saja. Zaman gadis adalah zaman mencari identiti dan cuba mengekalkan identiti itu.
Jika terdedah dia kepada yang buruk maka buruklah jadinya.
Walaupun begitu, gadis yang mendapat didikan yang baik besar kemungkinan akan menjadi wanita yang berguna kepada negara dan agama malah boleh menjadi contoh teladan sama ada kepada wanita mahupun lelaki.
Cari Yang Berpegang Teguh Pada Suruhan Agama
Ada empat sebab utama mengapa teruna memilih seseorang gadis, kerana kecantikannya, kerana hartanya, kerana keserasian taraf dan kerana agama.
Yang akan membahagiakan ialah memilih gadis yang beragama.
Dimanakah letaknya nilai gadis yang cantik? Letaknya ialah pada keimanan gadis itu.
Jika dia cantik dan dia pula beriman, berharta dan setaraf pula, maka dialah yang masuk ke dalam kategori gadis yang 'tak boleh tahan'.
Tapi sedarlah, dia akan memilih lelaki yang baik-baik pula!

Anggun Pesona Aurat Terpelihara

Pernahkah kita terfikir, mengapa Islam mensyariatkan wanita menutup dan menjaga aurat mereka? Betapa Islam hadir untuk memartabatkan kaum wanita, tetapi wanita sendiri tidak menyedari hakikat itu.
Jika dibandingkan wanita Islam dengan bukan Islam, wanita Islam begitu bertuah kerana telah disyariatkan untuk menutup aurat. Cuba lihat wanita barat yang meluncur di atas ais dengan hanya memakai bikini atau mungkin tanpa berpakaian. Merekalah yang sebenarnya telah didiskriminasikan. Menjadi tatapan setiap manusia yang memandang tanpa sekelumit pun perasaan malu. Maruah yang perlu dijaga dipertontonkan sewenang-wenangnya tanpa timbul perasaan bersalah. Seolah-olah tidak bernilainya mereka di mata masyarakat.
Sedarkah anda wahai wanita bahawa Islam telah menerangkan dengan jelas kepada kita, siapakah yang selayaknya melihat aurat kita di dalam al-Quran.
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah An-Nur: 31]
Konklusinya dengan lebih mudah, mahram seorang wanita, yang boleh melihat auratnya ialah lelaki yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan. Ia merangkumi;
  1. Bapa kandung
  2. Bapa mertua
  3. Bapa susuan
  4. Anak kandung
  5. Anak tiri (yakni anak suami)
  6. Anak susuan
  7. Saudara lelaki kandung
  8. Saudara lelaki susuan
  9. Anak saudara lelaki
  10. Bapa saudara
Namun wanita kini, mereka sendiri dengan sesuka hati mendedahkan aurat  dan mahkota mereka tanpa rasa berdosa kepada yang bukan mahram. Malah lebih parah lagi, lelaki yang seharusnya menjadi pelindung dan pembimbing kepada kaum wanita membiarkan sahaja isteri, anak, adik, sahabat dan saudara mereka mendedahkan aurat.
Tidakkah kaum lelaki ini merasa tercabar dan cemburu melihat wanita yang di bawah tanggungjawab mereka yang sepatutnya hanya mereka melihat aurat mereka tetapi, sebaliknya lelaki lain juga mendapat HAK yang sama?
Dimana istimewanya lelaki yang bergelar suami berbanding dengan lelaki lain di luar sana yang mendapat HAK yang sama dengannya? Apakah mereka merasa biasa dengan situasi itu? Sungguh rugi dan dayuslah mereka.
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]
Dan tahukah anda lelaki, bahawa ada empat golongan lelaki yang akan ditarik wanita ke neraka kelak andai mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka..
01.Ayahnya
Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji, dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup hanya memberi kemewahan dunia saja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.
02.Suaminya
Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di luar rumah, menghias diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim. Apabila suami berdiam diri walaupun dia seorang alim, misalnya solat tidak lalai, puasa tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya kelak.
03.Abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggung jawab menjaga wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya saja, sementara adik perempuannya dibiarkan melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan sang adiknya di akhirat nanti.
04.Anak lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati ibu perihal tindak-tanduk yang menyimpang dari Islam. Bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, membuka aurat, dan lain sebagainya maka anak lelaki itu akan ikut ditanya serta diminta pertangungjawabannya di akhirat kelak.
Jadi bersediakah anda kaum lelaki untuk ditarik ke neraka oleh anak, isteri, adik dan ibu anda? Oleh itu, laksanakanlah tanggungjawab anda bagi memastikan wanita-wanita ini tidak menarik anda ke neraka tetapi memimpin anda ke Jannah.
Kita pula sebagai kaum wanita seharusnya menjaga martabat kita selaku wanita yang mana sudah jelas Islam memandang tinggi martabat wanita. Nah, apalagi yang kita mahu, syurga terbentang sedia, masih neraka yang didamba? Sungguh rugi dan celakalah jika demikian rupa.
Wallahu'alam.