JellyPages.com

Total Pageviews

Saturday, January 8, 2011

Saya Mahukan Wanita Solehah... ( Muhasabah )

Saya mahukan wanita solehah, bu. Saya harap bu dapat carikan saya seorang wanita solehah yang akan mendampingi hidup saya, menghirup kesusahan dan kesenangan bersama saya,” bilang saya pada ibu saya satu ketika. Masing-masing mempunyai definisi tersendiri tentang wanita solehah, saya juga tidak terlepas. Seperti itu jugalah setiap orang mempunyai definisi citarasa tersendiri tentang kecantikan. Yang pasti, lelaki mahukan wanita yang solehah yang mampu menempuh kehidupan bersama dan begitulah sebaliknya. Solehah itu bukan pada nama atau rupa, tetapi hati dan budi.

Solehah itu bukannya nampak pada mata tetapi nur dan sinarnya tersimbah di wajah. Yang solehah, pasti akan ternampak pada wajahnya lambang kesolehan. Tidakkah benar pernyataan saya?. Tidak usahlah kita susah-susah dan payah-payah mencari definisi huruf demi huruf untuk menarik perhatian. S untuk Solehah. O untuk Obama. L untuk Lembut, bukannya lembu. H untuk Hembusan Kewangian. A untuk Agama dan H untuk Hantu. Usah didefinisikan sebegitu. Ia bukanlah satu perkara yang menarik pun.

Yang jelasnya, solehah ialah satu simbolik kepada seorang wanita yang mencurahkan keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya sepenuh hati. Perasaan keimanan itu menyeluruhi seluruh ruang hidupnya sehingga meletakkan ia dalam ruang ketaqwaan dan peribadatan yang hakiki. Tanda solehah itu ada beberapa antaranya: 

1) Menjadikan Allah dan Rasul sebagai keutamaan. Antara petandanya ialah, mereka selera beribadat dan mereka tidak menghalang suami mereka daripada menjalankan gerak kerja dakwah meskipun menyempitkan ruang untuk bersama. 

2) Mentaati suami dengan mengasihinya segenap perasaan, menasihatinya jika tersilap dengan penuh kebijaksanaan, mendokong suaminya serta sentiasa memberikan motivasi selain mengingati perkara-perkara penting dalam kehidupan suaminya seperti tarikh lahir.

3) Menjadikan gerak kerja membawa Islam sebagai resepi kejayaan rumah tangga. 

4) Meletakkan nawaitu untuk melahirkan anak yang bakal menyibukkan diri dengan amal Islami. Disebabkan itulah pemimpin Palestin menyebut, “Kekuatan kami ialah rahim-rahim isteri kami”. 

“Macam mana kamu nak orang solehah sedangkan kamu kerja pun tak ada. Ada ke orang nak kat kamu yang kerja takde ni?” tanya ibu, sinis sekali. Saya terpukul dan membantutkan hujjah saya buat seketika. Namun hanya seketika. Saya menerawang berfikir. Ibu seorang kakitangan kerajaan. Mungkin sejak saya dalam kandungan lagi ibu berpesan sambil mengusap perut, “Ngah, bila besar nanti, kena kerja kerajaan”. Aduh, berat sekali untuk berdepan dengan kehendak ibu yang mendesak sebegitu. “Nanti tok Qadhi tanya kerja apa, ha..nak kahwin macam mana?” Begitulah bilang ibu. 

Saya mencari-cari. Mengintai-intai mana-mana muslimat yang kuat. Ada yang mahukan suami yang pandai buat roti canai. Ada yang mahu suami yang kerja tetap. Ada yang mahu menurut kehendak ibu bapa sahaja. Ada yang mahu senegeri. Ada yang mahu sebaya, tidak kurang juga yang mahukan yang lebih tua. Ada yang mahu suami yang prihatin dan mengambil berat. Ada yang mahukan keromantikan. “Ada tak yang mahu orang yang tidak bekerja dengan kerajaan macam ana?” tanya saya kepada seorang sahabat akhawat satu ketika. “Jadi, ustaz kerja apa? Takkan nak bagi dia makan pasir?”Tanya balik akhawat tersebut. Ish, banyak songeh betul. Orang tanya, bukan nak jawab.

Dipukulnya pula saya dengan persoalan itu. Aduh, peritnya. “Ustazah, ana meniaga,” balas ana balik. “Ustaz meniaga apa? Miskin je nampak,” Ish, budak ni. Memang nak kena. Aku luku sekali baru tahu. Kata saya dalam hati. "Awat ustazah banyak sangat tanya ni ? Ke ustazah yang nak kat ana ?” Saya bagi buah kilas sekali. Terus dia terdiam dan, dot, dot, doooot. Fuh, malu la tu. Gerutu hati saya. 

Saya berniaga dengan Allah. Biarlah Allah yang membalas segala usaha saya. Saya tidak gemar bekerja dengan manusia yang banyak protokolnya. Saya bukan semacam ibu. Malah saya berbeza dengan kakak Sarah yang rajin bekerja. Adik-adik saya sinis berkata, “Ada orang tu, dapat kerja tapi tolak, kuikui,”. Apapun, saya masih mengembara mencari wanita solehah. Yang sanggup menghirup kesusahan bersama saya, terbang mencari ampunan Illahi melalui gerak kerja Islam. Ahhh..saya mahukan wanita solehah, tolonglah! Kenapa saya mahukan wanita solehah? Kerana saya mahukan hidup saya bahagia. Saya tidak pentingkan yang romantik kerana cukuplah saya yang romantik. Saya tidak mahukan yang kaya-raya kerana saya sudah terbiasa dengan kesusahan. Saya hanya mahukan Solehah. Ops.. maaf tersilap. Bukan saya mahukan Solehah tetapi mahukan yang solehah. 

“Ustaz Mi, bagaimana caranya mahu mendapatkan wanita solehah. Saya ingin menjadikannya teman berbicara tentang ilmu, teman seperibadatan, teman yang berkongsi perasaan dan permasalahan. Bagaimana caranya Ustaz Mi?” tanya saya kepada sahabat saya Azmi satu ketika. Walhal, Azmi sendiri teraba-raba mencari wanita solehah.“Enta ni Dzul. Enta nak orang solehah, tapi enta pula entah apa-apa. Macam mana enta nak orang solehah kalau macam ni?” Aduh, saya terpukul sehingga kelebam-lebaman dibuatnya...............

Buat kaum Adam

Secebis Ingatan Buat Adam....
renungan dari sahabat......
Adam…
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.
Wahai Adamku…
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok.
Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mahu terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.
Adam…Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannnya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya. Jika bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.
Adam…
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tapi… aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun…terasa berat pula untukku menyatakan isi perkara.
Adam…
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu. Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini, aku dibiarkan terumbang-ambing tanpa haluan, malahan engkau juga mengambil kesempatan atas kelemahanku. Dimana perginya keadilanmu. Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap dirumah. Aku akur asalkan aku keluar dari rumah, seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut… Tapi realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.
Adam..
Mengapa kau biarkan aku begini?
Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?
Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad s.a.w terhadap mereka?
Adakah akhlak kaum Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?
Adam…
Kau sebenarnya Imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu Sembilan, nafsumu satu. Aku… akalku satu, nafsuku Sembilan.
Dari itu Adam…pimpinlah, bimbinglah, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa sehingga aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.
Adam…
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegar munkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang Agung.
Maafkan aku sekali lagi Adam…
Andainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah didadamu. Jauh sekali niatku untuk membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu.
Waspadalah Adam…
Andai auratku terdedah…andai suaraku mengatasimu… andai langkah seiringmu…andai maruahku dirobek maka engkaulah yang bakal membawaku kepada kebenaran.
Usah dipersalahkan Hawa lantaran tewas mengemudi bahtera andai si Adam masih lena diulit mimpi…
Tetapi percayalah!!!...bukan emas yang kucari…bukan berlian yang kupinta… tetapi…hanyalah hati yang tulus ikhlas darimu…Adam…
Dengarlah…keluhan hatiku buat dirimu…